SEJARAH RINGKAS SEKOLAH
Sekolah Menengah Kebangsaan
Sungai Karangan mula dibuka dengan rasminya pada
01 Januari 1984.
Pada awalnya, pelajar-pelajar di sekolah ini
menumpang di Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan sebagai pelajar sesi petang
dan hanya mempunyai kelas Peralihan dan Tingkatan 1 sahaja. Pada 01 Ogos
1984 kumpulan pelajar pertama ini mula menggunakan bangunan baru yang dibina
semenjak tahun 1983. Bangunan baru ini terletak di atas sebidang tanah
yang berkeluasan 15 ekar dan berjarak lebih kurang 200 meter dari jalan
Baling-Kulim di kawasan pekan Sungai Karangan. Pada peringkat awalnya,
terdapat 7 orang guru dan bilangan pelajarnya seramai 133 orang dan
seterusnya meningkat dari tahun ke setahun sehinggalah mencapai 492 orang
pada tahun 2000.
Sekolah ini mempunyai 3 blok 2 tingkat yang
di dalamnya mempunyai pejabat, bilik guru, bilik tayangan, bilik kaunseling,
bilik disiplin, makmal, bilik pendidikan seni, surau, perpustakaan,tandas
dan juga kelas-kelas. Juga terdiri 1 blok kantin setingkat, 1 blok bilik
Kemahiran Hidup dan yang terbaru dibina pada penghujung tahun 1999 ialah
1 blok baru setingkat yang mempunyai 3 bilik darjah.
Pelajar-pelajar di sekolah ini mula mengambil
peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1986 dan mula mengambil
Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) pada tahun 1993.
Dari segi pentadbiran sekolah, ianya dimulai
dengan Encik Akbar Bin Ridzwan sebagai Pengetua pada tahun 1984 sehingga
1987, diikuti oleh
Encik Abd Hamid Bin Saad dari tahun 1987 sehingga
1989, diikuti oleh
Encik Abu Bakar Bin Shafie dari tahun 1989
sehingga 1992, diikuti pula oleh
Encik Mahmud Bin Din dari tahun 1992 sehingga
1997, diikuti pula oleh
Encik Mohd Nor Bin Othman dari tahun 1997
sehingga 1999. Bermulanya alaf baru sekolah ini mula diterajui oleh Pengetua
baru yang berpindah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Selama iaitu Encik
Rusdin Bin Husin. Dengan pertukaran demi pertukaran atas kepentingan perkhidmatana
pendidikan, maka banyaklah inovasi dan perubahan-perubahan yang dibuat
ketika mereka memimpin sekolah ini. Adalah menjadi harapan semua bahawa
sekolah ini akan setaraf dengan sekolah-sekolah yang menjadi sebutan
dan daya tarikan kepada masyarakat setempat.